Sayap Seekor Merpati Hitam | |
Oleh: dzire | 6 tahun lepas | 4 komen | 984 Bacaan | Rating: 4.0 dengan 4 penilai | |
|
| |||
Imanku nipis bak helaian kulit bawang, dan aku tahu hari demi hari
ianya mereput selari dengan cara hidupku yang penuh roba ini. Arak dan
perempuan adalah permainan harianku, dan kelajuan adalah serakahku. Tak
terlintas di hati ini akan perkataan ibadah, walau aku sendiri erti akan
perkataan wajib itu.
Namaku Danish Sharief Abdul Farihin, anak seorang jutawan negara
yang bergelar “Tan Sri”. Kerjaku ? Zahirnya aku adalah seorang eksekutif
di syarikat ayahku, namun sedikit pun tidak aku endahkan statusku itu.
Malahan dengan status yang ku terima itu aku “gunakan” sebaiknya untuk
mengenyangkan lubuk nafsuku, berahiku pada kelajuan. Namun bukan di atas litar lumba, tetapi di atas litar metropolitan. Ada
apa dengan litar lumba ? tidak mencabar kejantanan! Siapa tidak kenal
akan aku? Katakan sahaja kepada kaki lumba tentang Danni, si helang
hitam dengan kereta Nissan Skyline hitamnya, pasti terangkat tangan
mereka menabik hormat padaku! Dan tanyalah pada segenap wanita
berpakaian seksi di kota ini, percayalah bahawa mereka semua telah tewas
oleh kejantananku ini. Satu lagi bukti bahawa aku ini lelaki sejati!
Namun, sekarang aku berbeza. Berbeza
dari apa yang pernah aku alami. Dan siapa sangka kegagahanku selama ini
boleh tewas. Siapa sangka aku akan jatuh tergelincir dari tarianku, dan
di selamatkan oleh seorang insan yang digelar wanita. Tiada siapa akan
percaya, namun itulah hakikatnya. Hakikatnya wanita terlalu hebat,
hinggakan mampu menarikku dari terus terjelepok ke dalam lubang
kehancuran. Siapa
dia ? Bagaimana ? Mengapa? Aya Haniza Syakira Binti Muhammad Arief. Ya,
itulah namanya. Nama keramat yang menjinakkan binatang sepertiku. Nama
yang membuat aku menghayati perkataan sayang...
Jarum speedometer mengarahkan pada angka 190. Lampu shift dari sejenak
tadi tidak henti-henti berkelip. Tanganku asyik melayan gear dan
stereng, sambil telinga galak mendengar musik. Kulihat dari cermin kiri
keretaku, pemandu Lancer Evolution VII merah yang berambut panjang
keperangan itu memandangku dengan penuh geram. Dengan senyuman sinis,
aku menekan pedal minyak dan serentak dengan itu ‘Helangku’ bertambah
garang, meninggalkan kereta lawan tanpa segan silu. Hari ini, seperti
semalam, dan hari hari sebelumnya, sekali lagi aku menang dalam
perlumbaan. Namun sedikitpun aku tidak puas. Aku dan rakanku bercadang
untuk pergi ke Bistro untuk menyambut kemenanganku. Sedang aku asyik
menonggang kencingan syaitan, aku terpandang seorang wanita, sungguh ayu
dengan kebayanya berjalan bersama sekumpulan wanita lain menuju ke
sebuah butik. Hatiku bagai disentap - sentap. Seumur hidup aku ketawakan
cinta pandang pertama, namun hari ini aku akur akan rontaan hati ini. Rentetan dengupan jantungku yang memacu laju, aku kaku tanpa berbuat apa-apa.
Keesokannya, sewaktu aku ingin pusing-pusing di bandar, aku singgah
sebentar untuk mengalas perutku. Ku berhentikan Skyline hitamku di
hadapan Berjaya Times Square, dan berjalan keseorangan menuju ke
Starbucks Coffee, dan disitulah aku sekali lagi, terlihat si ayuku,
sedang duduk menghirup kopi. Tidak dapat aku lupakan, tudung merah jambu
itu yang amat sesuai sekali dengan pipinya yang gebu dan kemerahan.
Kelihatan lesung pipit di pipinya yang membuat lututku sekaligus
bergetaran. Serentak dengan itu aku kedengaran lagu dari dendangan V.E.
iaitu Ayu. Dan kaki aku sekali lagi kaku, dan aku berdiri sendiri
keseorangan di tengah lautan manusia. Takdir bagai mempermainkan aku.
Mengapa harus aku temui dia lagi sedangkan tidak tidur aku semalaman
untuk melupakannya?
Tiba-tiba
si gadis manis itu melihat jam tangannya, hatta sekaligus bangun
mengutip begnya dan kotnya dari bangku di sebelahnya. Gayanya seperti
seorang eksekutif sebuah syarikat korporat, itulah dari pandangan
hatiku. Dia berjalan sendiri, dan aku? sudah pasti ingin mengekorinya.
Dia kemudian berjalan menuju ke arah tempat aku meletak kereta. Sekali
lagi aku terasa dipermainkan takdir, kerana si gadis itu meletakkan
kereta BMW 7 seriesnya di hadapan Skyline ku. Bagai banduan di dalam
kamar hukuman, hati aku meronta-ronta untuk mengikut si gadis itu. Dan
secara cermat aku mengikutnya. Namun sedikit menghairankan aku, kerana
jalan yang di laluinya tidak asing bagi aku, malahan acap kali ku lalui,
kerana itulah jalan tunggal ke menara Gathers Of Malaysian Developers
Corporation, milik Tan Sri Abdul Farihin Abdul Ghani, atau lebih tepat
lagi, ayahku!
Seperti disengajakan, aku terlupa menekan pedal brek di belakang
keretanya dan terus menghentam bumper belakangnya! Nasib baik dengan
kelajuan yang tidak seberapa, tidak banyak yang rosak, hanya bumper
belakangnya sahaja yang terjatuh. Dengan jelas plat bernombor DR 171 itu
robek sedikit. Aku keliru, kerana dalam kekecohan yang berlaku di depan
syarikat ayahku itu aku masih mampu tersenyum. Mungkin tersenyum kerana
berpeluang untuk mengenali si dia. Aku lihat si gadis itu keluar dari
keretanya dengan pipi kemerah-merahan, mungkin tanda kemarahan yang
meluap-luap. Aku kemudiannya meminta maaf atas kecuaianku setelah aku
keluar dari kereta. Kemudiannya aku berjanji akan membayar ganti rugi
kerosakkan keretanya, sambil mengatakan bahawa aku kerja di syarikat
ini. Secara tiba-tiba dia tersenyum dan berkata bahawa dia juga bekerja
di sini, di bawah Puan Sri Nurul Azila Che Ariffin, salah seorang
pengasas bersama syarikat ayahku, Dia menambah bahawa dia baru memulakan
tugasnya hari ini, kerana hanya seminggu sebelum ini dia pulang dari
Australia mendapatkan Master dalam bidang Architecture. Aku menghulurkan
tangan untuk berjabat salam, namun dia hanya tersenyum dan menggeleng,
sambil memperkenalkan dirinya.
“Aya Haniza Syakira Muhammad Arief, panggil sahaja Aya” katanya dengan penuh kelembutan.
“Wah.
Panjang sungguh nama awak ya Aya, saya Danish, Danish Sharief Abdul
Farihin” balasku. Kakiku kini tidak lagi kaku seperti sebelum ini. Aku
sedikit gembira kerana dapat mengenali si gadis ini.
“Apa
patut saya panggil awak, encik Danish?” tambahnya dengan senyuman yang
menawan. Aku sedikit terkejut dengan layanannya yang lembut sedangkan
aku baru sahaja melanggar keretanya!
“Anything would do, Danish or Danni…” tanpa sempat aku menghabiskan ayatku dia mencelah.
“Sharief if u don’t mind, ok Mr. Syarief?”
“Err… fine with me but you are the first to call me that. And please
please please save the Mr for anyone else” balasku dengan tawa kecil.
Dia kemudian membalas tawaku dengan tawa yang lebih kecil.
Berlalunya hari itu menandakan aku akan lebih rapat lagi dengannya,
dengan alasan permulaan untuk membetulkan keretanya. Namun hari demi
hari menyaksikan aku cuba menawan hatinya. Seharusnya aku sebagai
seorang kaki betina pasti mudah untuk menawan seorang wanita, namun aku
akui Aya seorang yang berbeza. Dan aku sendiri tidak ingin merosakkan
Aya, kerana di lubuk hatiku ini telah terbit perkataan sayang dan rindu
padanya. Setiap bibit pertemuan kami memberikan memori yang terlalu
sukar di ungkapkan, walaupun kami belum bergelar kekasih. Aya tahu aku
seorang peminat lumba kereta, dan Aya menasihati aku supaya berhenti
berlumba. Katanya tidak berbaloi menukar nyawa dengan hanya keseronokan
di jalan raya. Namun mungkin kerana aku seorang egois, aku tidak
menerima nasihatnya walaupun sedikit sebanyak aku risau akan dibencinya.
Tanggal 14 Februari 2002. Hari memperingati kekasih. Dan hari ini aku
ingin meluahkan segalanya pada Aya. Seawal 5.30 pagi aku telah bangun,
menyiapkan sajak untuk ku bacakan pada Aya. Sedikit perasaan malu terbit
dari hatiku ini dan aku sendiri tidak menyangka akan aku menulis sajak
beremosi seperti ini. Dan selepas 3 jam memeras otak, akhirnya sajakku
siap dikarang! Aku terus berlari ke luar rumah sambil memetik
sejambangan bunga ros dari taman mini rumahku. Dari jauh ibuku melihat
telatahku sambil tersenyum
“Petik
bunga senang caranya, petik anak dara orang bervariasi susahnya!”jerit
ibuku dari dalam rumah. Ibuku sememangnya tahu akan isi hatiku ini tidak
pernah membantah hubungan aku dan Aya. Aku tersenyum sendirian dan
terus memacu laju Skyline milikku. Keluar sahaja dari kawasan Bukit
Antarabangsa, aku berhenti di hadapan lampu trafik. Kemudian tanpa
diundang aku melihat di kiriku kereta Lancer Evolution VII berwarna
merah menyala berhenti selari dengan Skyline milikku. Kemudian secara
perlahan-lahan tingkap keretanya diturunkan, dan wajahnya sama sekali
aku kenali, si rambut panjang keperangan yang pernah aku kalahkan.
Minyak ditekannya berkali-kali bagai mengajak aku berlumba. Hatiku bagai
dapur arang dicucuh api, dan membakar kemarahan.
Pedal minyak aku tekan sekuat hati selepas lampu trafik mempamerkan
warna hijau. Aku tak peduli, kali ini aku akan biar satu negara tahu
akan Danish Sharief Abdul Farihin pantang dicabar! Gear 1 hingga gear 5
aku mainkan dengan mudah tanpa cabaran, sehingga tarian jarum
speedometer bermain di kala 190. Si
rambut perang berada di belakangku , mungkin satu atau dua meter.
Secara tiba – tiba telefon bimbitku berbunyi, dan dari melodinya aku
tahu Aya menelefonku. Tanpa berfikir panjang aku menggapai telefon
bimbitku. Agak kalut kelakuanku, sehingga terjatuh telefon bimbitku ke
bawah. Dan kerana Aya aku terus ingin menggapai telefon bimbitku, tanpa
menghiraukan speedometer ku yang semakin laju tariaanya, tanpa
menghiraukan lampu trafik yang mempamerkan warna kuning di hadapanku.
Dan akhirnya aku dapat menjawab telefon itu.
“Hello,
Assalamualikum Aya, Sharief tengah driving….”dan di situ noktahnya.
Segalanya selepas itu hanyalah kegelapan. Kegelapan yang disertakan
dengan ketakutan, kekeliruan dan pertanyaan.
Secara tiba-tiba sebuah skrin putih berada di hadapan ku, menerangi kegelapan yang malap, sambil mempamerkan sesuatu. Aku bagaikan kenal situasi itu. Dari skrin itu kulihat aku sedang bermain noda dengan seorang wanita. Dan seorang lagi wanita. Dan seorang lagi wanita. Tidak sedikit pun aku peduli kemudiannya selepas aku bermain noda itu, malahan ku tambah dengan tegukkan air kencingan syaitan yang di laknat itu. Tidak cukup lagi terpapar juga gambar aku sedang melarikan diri selepas melanggar seorang wanita mengandung semasa berlumba, sehingga mengakibatkan kehilangan dua atau lebih nyawa!
Tidak sanggup rasanya untuk aku untuk melihat lagi akan segala
kesilapanku ini. Ingin sahaja aku terjun ke dalam skrin untuk
memberhentikan kesilapanku ini. Aku erti akan motif tayangan ini. Namun
disini aku hanyalah seorang hamba. Cukup aku fahami sekarang tujuan aku
dilahirkan ke bumi. Di
sini aku hanya mampu menangis, sambil menyesali perbuatan sendiri,
tanpa memandang sedikit pun ke atas. Aku cukup malu. Di waktu ini aku
sedar, penghujung adalah lebih baik dari permulaan, dan disinilah
hikayat aku akan dinoktahkan, di akhirkan oleh tangan aku sendiri. Namun
secara tiba-tiba wajah Aya muncul di mataku. “Cukuplah, cukuplah ya
Allah! Aku sedar akan kesilapanku ini, aku erti akan kejahilanku selama
ini, berilah aku peluang sekali lagi! Peluang untuk menunaikan
kewajipanku sebagai hambaMu, dan peluang untuk aku menebus kesalahanku,
dan peluang untuk aku bersama…”
“Sharief!!”
kedengaran suara yang amat aku rindui sedang berteriak kegembiraan
sambil mengalirkan air mata. Dengan serentak aku terjaga dari tidurku
yang panjang, perlahan-lahan. Aku membuka mata dan melihat tangisan
seorang wanita yang aku dambakan. Wanita yang memanggil ku pulang untuk
bersama-sama menunaikan janji yang telah aku laungkan di hadapan
tayangan filem perdana noda-noda milikku. Janji sebagai seorang khalifah
di bumi Allah yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini. Namun kini aku
tidak ingin jatuh lagi. Kerana kali ini, aku bukan berseorangan. Aku
mempunyai teman. Aku mempunyai rakan yang akan membimbing aku ke jalan
yang satu, ke jalan yang tunggal. Aku mempunyai pembantu, yang tidak
perlu dipersoalkan kekuatannya. Insyaallah.
| |||
|
|
|
|
|
Nilaikan karya ini |
|
|
Info penulis |
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar